Thursday, 22 February 2018

Last day Di Pengkalan Datu. Nak balik Pekan Dah

Hari ketiga di Pengkalan Datu, adelah hari kami bertolak balik ke Pekan.
Pepagi tu aku dah kejutkan anak-anak suruh mandi. Tu pun jenuh liat nak bangun. Kejutkan Amir suruh mandi, Amir suruh Joe mandi dulu. Kejutkan Joe mandi, Joe mintak Ammar mandi dulu. Haishh budak-budak ni. Nasib baik rumah orang. Kalau rumah sendiri dah kena dengan aku ni. huhu

Masa nak gerak ke Kota Bharu, tiba-tiba ada delivery nasi bungkus 7 bungkus. Untuk kami seramai 7 orang. Adudu.. rupanya mak Zura belikan juga makanan untuk kami makan waktu dalam perjalanan balik Pekan. Padahal dah pesan malamnya tu takyah masak atau beli apa-apa sebab kami nak sarapan kat pasar. Nak tapau makanan best-best untuk bekal. Dia kata takde susah pun, memang dia nak bagi. Setiap kali aku datang rumah Zura, mak dia tak pernah walau sekali pun tak bekalkan apa-apa. Pernah sekali aku datang beraya rumah dia bawak mek. Nak balik tu mak Zura bagi beras siam kat aku dan mek sekampit 5kg sorang. Terkejut aku. Kalau bagi kat mek sorang tu tak pe la jugak sebab consider warga mas, ni dengan aku-aku sekali dapat. Mudah-mudahah murah rezeki keluarga Zura.

OK sambung.
Pukul 8.30 kitorang turun dari rumah.
Ayra dan Ayohngoh - versi muka masam

Versi muka senyum. Tu pun jenuh agah
Aku dah plan nak sarapan kat pasar Siti Khadijah je, tapi Der bawak kitorang ke kedai tersohor, Kopitiam Kita. Memang popular kedai ni.  Pukul 9pagi sampai kedai tu, dak takde tempat nak duduk. Terpaksa beratur kalau nak. Kebetulan CNY pulak, ramai la chinese datang sarapan kat sini. 

Nampak tak panjang barisan kat dalam tu? Tu semua beratur tunggu menu popular; roti titab kalau tak silap aku. 

Ni pulak beberapa orang pelanggan yang tak dapat tempat duduk macam kitorang.
 Akhirnya kitorang tak jadi makan kat Kopitiam Kita. Kitorang pergi pasar je terus.

Budak-budak ni dah mula moody sebab terpaksa masuk kereta balik sedangkan dorang ni lapar.

Sampai je pasar, selipar Amir tiba-tiba putus. Terseret-seret dia jalan. Dah la sampai awal, kedai kasut pun belum bukak lagi. Tanya orang kat situ dorang cakap ada satu kedai selipar tepi ATM dalam pasar. Aku pun menapak kesana. Cari-cari takde pulak. Kesian Amir dah jauh seret selipar putus ni. Tanya lagi kat orang tepi ATM tu, dia cakap ada satu kedai kat tingkat 1. Kitorang pun naik tangga tingkat 1. Jumpa akhirnya. Punyalah susah cari selipar, rupanya dekat dengan bahagian makanan ni je. Kalau tau macam tu, tak payah aku berpecah dengan mak tadi. Mak ikut Der cari kedai makan.

Masa aku cari selipar Amir, Ngah bawak Ammar pergi bank. Katanya nak cucuk duit. Abah pulak jalan sorang diri. Suka la abah jumpa kawan-kawan lama dalam pasar ni.

Dah setel hal selipar, kitorang pun cari kedai makan tempat mak makan.


Biasalah bila perut lapar. ambik lauk pun banyak. Joe mintak ayam goreng kunyit saiz suku ayam, bahagian dada. Jenuh nak perabih. Last-last tak habis jugak. Terpaksa aku mintak plastik nak bungkus ayam tu. Buat makan dalam kereta. Amir pulak ambik paru air asam. Tu pun tak habis makan. Sudahnya bungkus jugak. Aku? makan laksam je lah sebab dah lama nau tak makan laksam. Nasi Joe tu pun aku terpaksa perabis. Patutla makin bulat. Kenapa la aku ni berselera sangat makan sejak kebelakangan ni. *nanges*

Lepas makan, kitorang turun tingkat bawah balik untuk beli kuih muih dan makanan lain. Kali ni aku tak beli banyak makanan pun, mungkin sebab perut kenyang baru lepas makan so nafsu membeli makanan tu tak berapa banyak. Aku hanya beli ketupat, etok salai, ulam pucuk jenereh dan sebiji limau belah lintang. Limau ni pun aku baru je tahu keistimewaannya. Alamak gambar takde pulak nak tunjuk. Limau ni dikatakan sangat wangi bila diperah dalam budu. Bau dia dikatakan dari luar rumah dah boleh hidu dan memanggil-manggil orang untuk makan nasi berlauk budu. Aku dengar ni dari mak Zura. Limau ni mak Zura kata mahal sikit berbanding limau nipis mahupun limau purut. 

Ketika aku nak beli, aku tanya penjual tu berapa sekilo limau. Penjual tu kata sebiji RM2. Jadi aku beli la sebiji sabit nak tahu tahap kesedapannya. Masa tu ada sorang pakcik kat sebelah aku. Dia kata ni limau sedap ni, orang panggil limau kerat lintang. Aku tanya kenapa nama dia limau kerat lintang. Saja layan sembang hihi. Pakcik tu cakap sebab biasanya limau, contohnya limau nipis, kita belah, limau ni kita tak belah, sebaliknya kita kerat. Korang tahu kan apa beza belah dan kerat? Kalau tahu, takpe hehe. Aku nak explain pun susah. 

Dah beli, tertinggal pulak kat rumah mak di Pekan. Adehhh... tak dapat jugak aku merasa aroma dan kesedapan limau kerat lintang seperti yang diperkatakan tu. Terpaksa la tunggu balik kampung lain kali pulak. 

Ok lah. Stop dulu. Ada masa aku sambung k? Doakan aku rajin hehe 

Wednesday, 21 February 2018

Pasar Terapung Pengkalan Datu, Kelantan

Somtam pasar malam tepi pantai
Kerabu megi pasar malam 
Malam kami sampai Pengkalan Datu, ada pasar malam kat tepi pantai Sabak. Zura tanya nak pergi jalan-jalan pasar malam tepi pantai tak? ehh mesti la nakkkkk. Kita datang niat menziarah sambil melancong katanya, haruslah pergi tempat-tempat macam tu. Penat tolak tepi.

Orang punya lah ramai nye sampai nak berjalan dalam tu pun tak muat hoi. Jumpa somtam dengan kerabu megi ni pun nasib baik je. Sebab peniaga ni meniaga kat tepi sekali, jadi tak ramai orang berasak-asak depan gerai dia. Aku beli somtam. Amir pilih kerabu megi. 

Nak ke pasar malam tu pun jenuh cari parking. Masuk dalam tu kejap je, dorang dah ajak balik. Apekah?? cari parking lagi lama dari beli belah dalam tu. Kitorang pergi dua kereta je. Kereta aku dan kereta Der. Kereta aku parking tengah-tengah kat bahagian jual kain baju. Dah parking situ, kitorang pun menyusup masuk kat bahagian baju dulu. Dah la kali pertama datang sini, tak tau nak pergi belah kiri ke belah kanan dulu. Aku sebenarnya nak lalu kat kawasan yang banyak jual makanan, tapi dah tersalah pulak pergi lalu belah kanan. Makin jauh la dengan gerai makanan. Dah la orang ramai, nak uturn pun payah. So terpaksa lah jalan je hingga jumpa simpang. Dah jumpa simpang, nak patah cari kawasan makanan, alahaiii anak pulak nak kencing. Terpaksa Ngah berpisah dengan aku. Dia bawak Ammar gi tandas, aku pulak heret Joe dan Amir sambung berjalan dalam pasar tu. Abah pun hilang kemana ntah. Mak naik kereta Der. Tak tahu dorang kat mana. Terpisah masa cari parking tadi tak jumpa-jumpa lagi. Takpe lah aku cakap. Kita jalan je lah. Nanti pandai-pandai la balik sendiri-sendiri. Asalkan aku tahu balik ke tereta, then ok je.

Tengah ralit beli aiskrim, tup-tup terserempak dengan Der, mak, abah dan Ngah. Baru aku nak buka mulut nak ajak pergi kat bahagian makanan, tiba-tiba ada yang ajak balik. Adehh.. Sudahnya aku hanya beli somtam dengan kerabu megi je. dan popia goreng sikit.

Sampai rumah Zura, kitorang dijamu makan malam pulak. 


Ini paling win

Ketam sungai. Sedap isi manis. Mak Zura rebus je, pastu cicah air asam makan dengan nasi. 
 Sejujurnya aku belum pernah makan ketam rebus. Dan tak reti makan pun. Bukan aku je, Ngah dan Der sendiri pun tak pandai makan ketam rebus ni. Selalu kita masak lemak atau keri ke, kan? Dua ekor tu, takde sapa usik pun. Aku je ambik sekor try makan. Ohoiiiiii manis nya isi ketam niiiii! Mak Zura cakap ketam ni sedara mara dia jugak yang cari dan jual. Harga sedara mara dalam RM20 ke RM25 sekilo. Kalau harga pasaran kan lebih kot 30ringgit.

Mak Zura tanya, pernah ke makan ketam rebus? Risau kot agaknya, dia jamu ketam rebus sekali takde sapa makan HAHAHA. Aku cakap tak pernah, tapi aku ok je makan ketam. Cuma tak pernah masak ketam rebus. Nak nak pulak ketam sungai yang berwarna hitam (dah masak jadi merah jugak).

Sepanjang 14 tahun aku kawin dengan Ngah, tak sampai 10 kali beli ketam masak sendiri. Dah la ketam mahal nak mati HAHAHA. Ketam bagi aku, adalah salah satu lauk mewah. Dah la mewah, nak makan pun payah. Pernah dulu beli dan masak lemak. Amir masa tu kecik lagi dan dia suka makan isi ketam. Aku dengan Ngah nak makan pun tak sempat, asik duk tarik isi pastu suap kat Amir je. Dah dahhh. Tak payah laa, nak makan ketam kalu, sila beli yang dah siap masak kat kedai. Sendiri kupas, sendiri makan. Gituuu..

Kari ikan stail nasi berlauk pagi.

Ok.
Ni baru masuk cerita hari kedua kami.
Hari kedua kitorang di rumah besan mak (keluarga Zura - biras aku). Rumah besan mak ni terletak berdepan je dengan Cerana Resort. Rumah Zura dengan Cerana Resort tu, kalau jalan kaki tak sampai pon 5 minit. Dekat nau nau. Belakang Cerana Resort adalah sungai. Sungai tu la yang dijadikan lokasi pasar terapung. Jadi kalau nak pergi pasar terapung boleh la gugel Cerana Resort Pengkalan Datu. Mesti jumpa.

Pukul 9.30pagi kitorang jalan kaki ke pasar terapung. Abah je tak ikut sebab katanya penat. Agaknya sakit urat kot seharian duduk dalam kereta huhu. Takpe lah, kitorang pun pergi kejap je sebab pukul 12tengahari nak gi kenduri kawin kat Pasir Mas pulak.

Pasar terapung hanya ada setiap Sabtu je. Memang elok sangat la untuk tarik pelancong tempatan macam kitorang datang ke sini. Makanan yang dorang jual kat pasar ni pun sama je harganya dengan beli kat pasar besar. Contohnya laksam. Harga kat pasar besar Siti Khadijah RM2 sebungkus, kat sini pun RM2 jugak. Takde la mencekik darah pengunjung. 

Bergambar dulu dengan si kenit Ayra



Aku beli lokam kat pasar terapung ni sebab berliur tengok saiz lokam besar-besar dan masih hidup. Almaklum la baru tangkap terus jual. Selonggok makcik perahu tu jual RM5. Aku pun beli sebab nak try. Berat jugak plastik selonggok lokam tu, ada kot 3 atau 4 kilo aku rasa. Siap makcik tu bagi freee lagi tiga pat ekor.


Kat jeti tu ada bot penumpang. sape-sape nak merasa naik bot boleh la try. Tambang pun murah sangat, sangat mampu naik dua tiga kali. Dewasa RM5. Kanak-kanak RM3. Murah kan? Sangat tak membebankan. 

Hari yang aku pergi berkhemah kat PD tu ada la dua orang pemuda. Dorang ni mengerjakan bisnes banana boat. Dorang datang kat tepi pantai tempat aku dan anak-anak sedang mandi laut. Konon nak promot naik bot dorang la. Joe sebaik nampak banana boat singgah depan dia, dan-dan tu mintak nak naik. Sekali pun jadikk lah kata dia. Siap rayu-rayu aku lagi. Aku tanya pemuda tu berapa tambang. Dia kata dewasa RM20, kanak-kanak RM15. Terus terdiam mak hencik. 

Anak aku 3 orang, kalau Joe sorang je naik bot, mesti yang lain merungut protes tak puas hati. Sudahnya semua tak payah naik. Adil dan selamat duit haku. Aku perati ada beberapa orang lagi tanya berapa tambang naik bot ni, tapi habis takat tanya je lah. Naiknya takk. Dah tu kau cas mahal sangat. Well, mungkin pada aku ianya mahal, pada orang lain mungkin hek elehh celah gigi je tu. Tapi aku tengok sampai ke maghrib takde sapa pun terliur nak naik banana boat dia. Jadi aku syak, bukan aku je la anggap harga tambang tu mahal. Serius tak berbaloi hoi. Kalau kau cas murah sikit, contohnya kanak-kanak RM5, dewasa RM7, aku rasa tak menang tangan kau pulas stereng bot mengangkut penumpang. Aku rasa lagi masyukkk kot. Dah tentu ramai naik bot ngkau. Ni cas sampai RM20, kalau ada yang melanggan pun, aku rasa nak dapat satu trip sehari pun sakit.

Layan anak-anak naik bot. Ngah taknak, takut hitam katanya HAHAHA tipu je





Penuh ngko hingga takde tempat Joe nak duduk. Mula-mula dia duduk mengadap aku, tapi sebab kurang selesa, aku suruh dia duduk tepi abam pemandu bot. 




Tempat Joe paling best, paling exclusive.











Ramai betul menunggu giliran nak naik bot.

Ni la makcik yang jual lokam segar tu. Masa aku pergi tu hanya dia sorang je jual lokam dalam bot. Orang lain kebanyakannya jual makanan.



Nyesal pulak tak beli serabe pakcik ni. Hari tu tak beli sebab rushing nak pergi kenduri. Lepas kenduri plan nak gi Pengkalan Kubur. So aku tak beli makanan sangat kat sini supaya boleh makan banyak kat tempat kenduri hahaha sabor je lah






Aku perasan muka aku makin bulat. Badan pon macam makin naik je. Bukan macam dah, memang konfirm! Dulu pakai jeans saiz 32. Seminggu sebelum balik kampung, Ngah belikan aku jeans saiz 32. Test-test tengok sendat hoi. Makanya sampai sekarang aku tak pakai-pakai lagi jeans tu. Takpe simpan dulu, mana tahu tahun depan kurus balik. kahkahkah.

Lebih kurang pukul 11.30pagi kitorang balik semula ke rumah Zura sebab nak bersiap-siap ke kenduri pulak. 


Selamat pengantin baru Megat Abdul Rashid. Megat ni anak kedua besan kak yah aku. Abang dia bernama Megat jugak. Megat Abdul Hafiz. Kitorang panggil Apih. Apih adalah menantu kak yah. Besan kak yah jemput kitorang makan kenduri kat rumah pengantin perempuan. Belah pihak lelaki belum buat lagi. Puchong dengan Kuala Kangsar tu dekat je. Boleh pergi balik hari. Eh ehh, berangan pulak, ntah orang jemput ke tak HAHAHA

.
.
.
** Testimoni Pengguna Diamond Gold Skincare **


Nak dapatkan kulit glowing dengan Diamond Gold Skincare?
Wasap 012-931 1015 - kak ila ngko

Sekian,
Yang baik dari Allah,
Yang buruk dari Aku.

Tuesday, 20 February 2018

Pengkalan Datu Kami Datang

Khamis lepas aku balik Pekan. Saja la balik, lagi pun mak sebelum ni ada call Ngah tanya 
"dah orang kelantan postpone kenduri, balik ke sana jugak ke?"

Gituuu mak punya soalan. Memerangkap sungguh HAHAHA.

"Tak balik dah kott, mungkin balik Pekan je lah" Jawab Ngah. 

Aku ambik cuti Khamis. Ngah lagi best, office dia hari Rabu dah tutup halfday. Mula tu aku ingat nak ambik cuti Kahmis je cukup lah, Jumaat dan Sabtu memang cuti CNY pun. Ahad petang-petang sikit boleh la gerak balik Puchong. Tapi memandangkan sekolah pun masih tutup Isnin tu, kita sambung ikut jadual cuti sekolah je lah. 

Rabu malam. Kitorang keluar rumah gi makan dulu kat tempat biasa kat Puncak Jalil. Pastu baru gerak ke Pekan. Jalan jem ke tak pun, aku tak perasan sebab masuk-masuk je dalam kereta lepas kekenyangan, terus tertidur hingga lah sampai Pekan. Tersedar jugak la kejap-kejap tapi kebanyakan masa aku membuta je. Sampai Pekan pukul 3.30pagi.

Macam biasa kalau balik Pekan, aktiviti hanyalah lepak sesaja kat rumah. Hari pertama bangun tidur ke dapur. Makan, sembang-sembang, pastu ke depan layan tv. Pastu ke dapur semula. Pastu masuk bilik golek-golek. Paling menyampah bila Ngah mula baring. Tak sampai 5 minit memang berdengkur terus. Aku memang tak boleh tengok laki balik kampung tapi... tidurrr?? Kalau camtu, baik takyah balik. Kita lepak je kat rumah Puchong. Lagi bagus, tak penat drive.

Anak-anak aku biasa lah. Kalau balik Pekan mesti ajak masuk kedai 2 ringgit. So petang lepas makan, kitorang keluar ke bandar Pekan. Dah setel, nak balik tu lalu tepi sungai. Baru aku perasan kat tepi sungai tu ada pasar malam. Iya lah, selama ni kitorang asal balik kampung je biasanya hari minggu. Pasar malam tepi sungai tu pulak setiap Khamis. Memang tak pernah bertembung. So kali ni kitorang masuk pasar malam tu nak tengok-tengok apa yang ada. Oh ya, disebabkan kalut kemas kain baju anak-anak, aku punya seluar berjalan, seluar jeans semua tak bawak. Yang ada hanya seluar track untuk buat tidur. Baju-baju berjalan semua ada. So alang-alang ada pasar malam ni, jom lah tengok kot-kot ada seluar jeans bundle hahaha.

Kat situ aku beli 3 helai seluar, tapi semua seluar ni bila balik rumah dan aku tanya pendapat Amir, dia kata seluar buat tidur boleh laa. Warna belang-belang macam sarung bantal kata dia. Komen kejujuran apekah ini? konghasam betul. Terus aku rasa kurang best pakai seluar belang sarung bantal buat berjalan. Aku beli pun sebab murah la. RM15 je selai. Jadikk la daripada takde seluar langsung nak pakai kan. 

Balik rumah, malam tu aku sembang dengan abah. Aku ajak abah pergi jalan-jalan ke Pengkalan Datu rumah menantu dan besan dia, sambil-sambil melawat abang kepada menantu dia yang baru kena strok. Umur muda setahun dari Ngah dah kena strok. Padahal takde lah gemuk pun. 

Aku cakap kat abah, sambil melawat orang sakit, boleh gi makan kenduri kawin anak kedua kepada besan kak yah aku yang berlangsung di Pasir Mas. Konsepnya sambil melawat sambil makan angin lah. Ni pon sebenarnya plan Ngah. Dia yang mintak aku ajak abah pergi Kelantan. Abah ni sejak pencen dan kurang sihat, makin kurang minat untuk berjalan kemana-mana. Lebih suka duduk rumah je. Berbeza dengan mak. Mak jenis suka berjalan makan angin. Ye lah mak kan suri rumah. Mesti dia seronok sekali sekala anak bawak berjalan. Kalau abah tak kemana-mana, mak pun tak dapat kemana-mana jugak lah. Kalau mak je pergi sedangkan abah duduk rumah, mesti mak rasa kurang seronok.

Ngah pulak, tak berani ajak abah, mesti dia akan mintak aku cakapkan. Konon-konon aku yang plan lah. Kadang aku terfikir, agaknya macam ni kot bila adik badik semua lelaki. Semua baik dengan mak, tapi kurang bersembang dengan abah. Ehh, ke adik badik Ngah je macam ni. Dalam family dia, hanya adik bongsu dia je la kalau rancak bersembang dengan abah pon. Hat lain tu kalau berkumpul depan tv pon, abah tanya je baru jawab. Nama nak sembang kosong tu belum pernah aku dengar. Mungkin jugak sebab abah ni orang nya pun pendiam tak banyak cakap. Jadi anak-anak otometik jadi tertib depan abah.

Sambung cerita.
Ok lah. Aku pun try and error je lah. Jom abah, kita gi Pengkalan Datu, kita gi melawat abang Zura yang kena strok tu. Sekali abah bagi green light ngko! Tak sangka mudah pulak abah setuju. So kitorang plan pagi esoknya takyah masak breakfast. Kita keluar awal pastu sarapan kat Restoran Nasi Dagang Ubai. Pastu terus ke Pengkalan Datu.

Seperti dirancang, pagi esoknya tu, pukul 9.30pagi kitorang keluar. Singgah makan kat Restoran Nasi Dagang Ubai. Hoiiii ramainya lahai orang pakat berenti makan kat sini. hinggakan beratur sampai ke luar kedai. Nasi dagang berapa kali masak pon tak tahu. Waktu aku sampai tu nasi dagang baru habis. Kalau nak kena tunggu dalam 20 minit.

Dah lapar sangat, aku dah tak tunggu nasi dagang dah. Aku kaup mee goreng untuk Ammar dan nasi lemak ayam goreng untuk aku. Nak cari meja makan pun kemain lama menunggu. Lepas dapat makan tu, dalam sejam, kitorang sambung perjalanan.

Dalam kereta kemain duk bersembang pasal kedai nasi dagang tu. Kitorang hairan kenapa ramai sangat orang sedangkan kalau ikut anak tekak aku (Ngah makan nasi dagang dan aku try sikit) nasi dagang dia takde la sedap melampau sangat. Ada lagi kedai sedap kat Ubai tu, cuma mungkin kesan orang viral atau ada buat fb ads kot. Padahalll. Mee goreng dia pedassss sangat. Tapi anak bonngsu aku makan jugak la separuh, separuh lagi aku habiskan. Nasi lemak aku pun takde la lemak mana pun, aku buat lagi sedap kot kahkahkah. Abah pulak makan nasi minyak. Nasib baik nasi minyak dia sedap abah cakap. Namun aku tak pasti, kemungkinan hari aku pergi tu je rasa kurang sedap. Sebab hari tu kan hari cuti so orang terlampau ramai hingga mungkin kerana nak cepat maka hasil masakan kurang memuaskan. Mungkin kalau pergi hari biasa masakan dia sedap. Mungkin la.

Masuk Tok Bali, kitorang pekena cendul kat kedai Professor Cendol. Kat situ dijual udang celop tepung RM10 untuk 40 ekor. Teruja punya pasal, kitorang pon order la. Dalam hati aku fikir mustahil la dorang ni jual udang 40 ekor harga 10 hengget je. Ni mesti udang kecik ni. Sekali memang kecik ngko! hahaha pandai betul dorang buat marketing. Kecik pon, berbaloi la dengan harga.

Ini cendol tapai. Tapai dia ubi kayu. Sedappppp sangat. RM3 semangkuk
 Cendol biasa RM2 semangkuk. Cendol biasa kau boleh tambah dan tak kena bayar. Cuma tak boleh la makan cendol sampai kenyang pastu mintak tambah lagi tapi nak bungkus. Kalau macam tu tak sampai 5 bulan kedai tu yang bungkus. Aku order 5 cendol biasa dan 1 cendol tapai. Cendol tapai ni aku kongsi dengan Ngah sebab kitorang sangka budak 3 beradik tu mesti tak habis punya. Sekali lichinn ngko! siap menambah lagi. Aku pon tambah jugak cendol tu tapi dia bagi tambah cendol biasa je la. Yang special tak boleh tambah.

Rojak buah. RM3


Sementara menunggu makanan sampai, kita hirup cendol dulu


Udang kecik celop tepung RM10 untuk 40 ekor. 

Dia tulis kat menu ikan celop tepung RM2/ekor. Dia tak cakap ikan apa. Aku order 2 ekor. Aku ingatkan ikan kembong hahaha. Sekali sampai ikan Selayang. Mak tak makan ikan selayang. Tapi ok lah RM2 kan. Cuma saiz ikan tak konsisten. seekor besar seekor kecik sikit. Ini memberi rasa kurang puas hati kepada pelanggan kuat makan seperti aku.

Sotong celop tepung. RM8/ekor. Aku order 2 ekor jugak. Sotong datang dalam 2 pinggan. So aku fikir seekor sotong dalam satu pinggan. 2 sotong datang la 2 pinggan. Tapi pinggan pertama banyak isinya. Pinggan kedua alahai seciput je sotong. Kemungkinan sotonng tu saiznya tak konsisten. ada kecik ada besar. Ralat jugak kat situ kerana kedai ni bertaraf fraincais. Tapi macam ikut suka dorang je nak letak sikit ke nak letak banyak. Tak menjaga perasaan pelanggan sangat huhu
Cendawan celop tepong RM4/set

 

Overall, tepung goreng adalah tawar. Semua pun dia guna tepong goreng yang sama dan semua pon tawar dan tak sedap kalau tak cicah.. Pencicah dia pon tak sedap mana. Tak kena pada selera aku. Mak pon cakap pencicah dia manis je lebih. Pedas kurang rasa, masam langsung tak rasa. Tapi takpe lah. Dah rezeki kami dapat makanan tawar huhu

Kitorang sampai di Pengkalan Datu pukul 5.30petang, tu pun sebab lalu highway. Kalau lalu tepi pantai, mungkin lagi lewat kot. 

Ok sekian lah dulu entry hari pertama percutian 3 hari 2 malam ke Pengkalan Datu, Kelantan. Nanti aku sambung cerita aktiviti hari kedua kami ye. 

Sekian,
Yang baik dari Allah,
Yang buruk dari Aku.

** Testimoni Pengguna Diamond Gold Skincare **



Nak try Diamond Gold Skincare?
Wasap 012-931 1015 - kak ila ngko