Tuesday, 21 October 2014

Daging Korban TIDAK BOLEH diagihkan kepada tukang sembelih binatang korban dan tukang-tukang lapah daging korban jika pemberian itu adalah sebagai 'tanda terima kasih' atau bahasa mudah 'upah' keatas bantuan itu. Hukumnya HARAM.

Ini bagi aku adalah ilmu. seriously aku pun baruuu je tau pasal ni beberapa minggu sebelum Raya Haji 5/10/2014 yang lalu. dan aku sangat bersyukur atas tersebarnya info ni dan disebabkan itu lah maka aku dapat tau yang daging korban TIDAK BOLEH diagihkan kapada ahli penyembelih binatang korban dan tukang-tukang lapah daging korban berkenaan.

disebabkan aku tak pandai link sumber ilmu ni, maka aku copy paste dari facebook DrMAZA.com. kredit kepada beliau sangat2. 
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
"BOLEHKAH KORBAN JANGAN JADI UPAH PENYEMBELIH?
Soalan: Menjadi amalan sesetengah masyarakat memberikan sebahagian dari daging korban kepada pihak yang menguruskan terutama penyembelih dan pelapah. Ada yang kata tidak dibolehkan, betulkah begitu? Mengapa?
Jawapan: Ya, menjelang musim hariraya korban, maka mungkin beberapa peringatan patut diulangi agar amalan korban kita benar-benar memenuhi tuntutan syarak. Antaranya,
1. Daging korban tidak boleh dijual oleh pembuat korban, sama ada dengan cara tukaran wang atau tukaran tenaga kerja. Apa sahaja transaksi yang membawa erti ‘menjual binatang yang telah dikorbankan’ samada dengan tukaran duit atau tenaga atau selainnya, adalah dilarang.
Para fuqaha (sarjana fekah) telah bersependapat bahawa adalah haram hukumnya daging sembelihan korban (al-adhiyah) itu dijual. Kata Ibn Rusy di dalam Bidayah al-Mujtahid: “Pada pengetahuanku para ulama telah sepakat bahawa tidak diharuskan menjual daging korban” (1/703, Beirut: Dar al-Khair)
2. Secara umumnya menjual daging korban oleh pembuat korban itu dilarang ini telah diketahui oleh kebanyakan kita. Namun ada yang terlupa bahawa syarak juga menetapkan bahawa memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah atau sebagai sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah termasuk juga dalam hukum jual beli. Iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja.
3. Larangan memberikan daging atau selainnya sebagi upah kerja kepada penyembelih adalah termaktub dalam hadis-hadis yang sahih yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim. Daripada `Ali bin Abi Talib r.a, katanya:
أنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُ أَنْ يَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ، وَأَنْ يَقْسِمَ بُدْنَهُ كُلَّهَا، لُحُومَهَا وَجُلُودَهَا وَجِلاَلَهَا، وَلاَ يُعْطِيَ فِي جِزَارَتِهَا شَيْئًا
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku membahagikan kesemuanya; daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.” (Riwayat al-Bukhari Muslim).
Di dalam riwayat al-Imam Muslim ditambah dengan ucapan Saidina `Ali:
نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا
“Kami memberikan kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta) kami sendiri”.
4. Ya, walaupun hadis di atas berkaitan dengan sembelihan haji namun sama juga hukumnya dalam masalah korban. Apa yang penting ialah larangan menjadikan sembelihan yang disembelih bagi melaksanakan suatu tuntutan ibadat sebagai bahan jual beli, iaitu membeli tenaga kerja dengan bayaran daging sembelihan korban atau al-hadi (sembelihan haji).
5. Ini telah dijelaskan oleh al-Imam as-Son`ani dalam Subulus as-Salam, katanya: “Hadis ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binatang korban sepertimana disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan disebabkan kedudukannya sebagai upah. Hukum sembelihan korban sama juga dengan hukum sembelih haji dimana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya. (4/148. Beirut: Dar al-Ma’rifah)
6. Dengan hadis di atas jelas bahawa dilarang sesiapa yang melakukan korban memberikan daging atau apa-apa bahagian yang boleh dimanfaatkan dari binatang korban kepada penyembelih atau pelapah sebagai upah, seperti memberi daging atau kulit atau apa yang ada dibelakang binatang tersebut seperti pelana dan lain-lainnya. Sehingga al-Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim mengkritik pendapat Hasan al-Basri yang membenarkan diberikan kulit kepada penyembelih atau pelapah. Al-Imam an-Nawawi terus mengulas ringkas pendapat ini dengan katanya: “Pendapat ini telah memcampakkan (membelakangi) sunnah” (9/435 Beirut: Dar al-Khair)
7. Ketika mengulas Saidina Ali bin Abi Talib di atas, al-Imam al-Imam an-Nawawi menyatakan dalam Syarh Sahih Muslim: “Hadis ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu juzuk darinya. Ini adalah tidak dibolehkan” (9/435).
Maksud al-Nawawi ialah dengan perbuatan ini bererti kita telah menjual daging korban sebagai tukaran dengan khidmat penyembelihan.
8. Al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya yang lain iaitu al-Majmu’ sekali lagi menegaskan pendirian al-Mazhab al-Syafi`, katanya: “Telah sepakat al-Imam al-Syafi`i dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafi`i bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan `umrah dan sembelihan korban dijual. Samada ia korban nazar atau sunat. Ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih ..”(8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr)
9. Kata al-Imam Taqiyuddin al-Syafi`i di dalam kitabnya Kifayah al-Akhyar: “Tidak boleh dijadikan bahagian dari korban itu sebagai upah untuk penyembelih walaupun korban itu adalah korban sunat.( m.s 149. Beirut: Dar So`ab)
10. Kata al-Syeikh Muhammad Abd al-Qadir Abu Faris dalam kitabnya Ahkam al-Zabaih fi al-Islam: “Tidak halal (haram) bagi sesiapa yang melakukan korban memberi walaupun sedikit bahagian korban kepada penyembelih sebagai upah sembelihan atau melapah.( m.s. 143. Jordan: Maktabah al-Manar)
11. Seperti yang ditegaskan tadi bahawa termasuk dalam larangan ini ialah memberikan bahagian korban kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam pengurusan korban atas dasar upah atau kerja yang dilakukannya
12. Mungkin akan timbul persoalan apakah para petugas sembelihan tidak memperolehi apa-apa ganjaran dari kerja yang mereka lakukan? Kita perlu jelas bahawa hadis-hadis tersebut bukan melarang memberikan upah kepada para peneyembelih atau pelapah. Larangan dalam hadis-hadis berkenaan hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban. Adapun jika upah itu berbentuk wang atau selainnya yang tidak dari bahagian korban maka itu adalah tidak termasuk dalam larangan, bahkan adalah sepatut kerja dan tenaga seseorang itu dibayar upah. Sebab itu dalam riwayat tambahan al-Imam Muslim yang disebutkan tadi, Saidina Ali menyebut: “Kami memberikan kepada penyembelih atau pelapah dari harta kami sendiri”. Ertinya mereka akan tetap mendapat ganjaran dari hasil kerja mereka melalui upah yang beri dari wang atau sebagainya tetapi bukan upah itu tidak diambil dari bahagian korban.
13. Setelah melihat penjelasan ringkas ini maka perlulah kita sedari kalaulah amalan ini diteruskan iaitu mengambil mana-mana bahagian dari binatang korban yang disembelih samada daging, kulit atau sebagai upah bererti kita telah merosak pahala korban yang dijanji. Kata Mustafa al-Khin dan Mustafa al-Bugha dalam Al-Fiqh al-Manhaji ketika menjelas fiqh korban di dalam mazhab al-Syafi`i: “Tidak boleh untuk sesiapa yang melakukan korban itu menjual atau memberinya kepada penyembelih sebagai upah sembelihan, kerana ini mengurangkan apa yang dikorbankan dan merosakkannya”.( 1/235. Ctk. Dar al-Qalam, Damsyik.)
14. Walau bagaimanapun pemberian kepada penyembelih dari bahagian korban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah. Perkara ini dapat diukur dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan kepadanya. Sebaliknya jika diandaikan jika tidak kerana kerja yang dilakukan maka sudah tentu dia tidak memperolehi bahagian tersebut, maka ini dianggap sebagai upah. Ia merosakkan korban. Kata Wahbah al-Zuhaili dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: “Jika diberi kepada penyembelih dari apa yang dikorban disebabkan kefakirannya atau sebagai hadiah maka ini tidak mengapa“. (3/633. Damsyik: Dar al-Fikr)
Ertinya, ini seperti memberikan kepada penyembelih sebab kemiskinan atau persahabatan yang sekirannya tanpa kerja yang telah dilakukan pun dia tetap akan diberikan. Dalam contoh yang lain, diberikan kepada penyembelih atau pelapah atau petugas upah mereka dalam bentuk wang umpamanya, kemudian ketika dibahagi-bahagikan daging kepada orangramai maka turut diberikan kepada penyembelih atau pelapah atas dasar pemberian biasa, setelah mereka memperolehi upah yang sebenar dalam bentuk wang. Perkara seperti ini tentulah dibolehkan kerana pemberian itu tidak lagi di atas dasar upah dari bahagian korban kerana upah yang sebenar telah mereka perolehi.
15. Kata as-Syaukani dalam Nail al-Autar bahawa diriwayatkan daripada Ibn Khuzaimah dan al-Baghawi bahawa dibolehkan memberi bahagian korban kepada penyembelih jika dia adalah seorang yang fakir dan setelah diberi kepadanya upah yang lain (selain dari bahagian korban). ( 5/221. Beirut: Dar al-Jil)
16. Apa yang dikehendaki dari keterangan di atas, agar bahagian yang diperolehi oleh penyembelih atau pelapah atau petugas itu tidak disebabkan oleh kerja yang dilakukannya. Jika ini berlaku bererti telah melanggar larangan Rasulullah dan membatalkan korban.
17. Setelah kita melihat dalil yang sohih iaitu larangan baginda Nabi dalam hal ini serta ulasan yang jelas yang dibuat oleh para ulama, maka hendaklah kita menjaga agar tidak melanggarnya. Cara penyelesaiannya telah ditunjukkan oleh Saidina `Ali di dalam hadis yang yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim tadi iaitu kita memberikan upah dari duit kita sendiri bukan dari bahagian korban yang mengakibatkan rosaknya korban yang kita lakukan.
18. Sesungguhnya sikap bakhil atau mengambil kesempatan melepaskan diri dari upah wang ringgit kepada penyembelih atau pelapah dan seumpamanya dengan cara memberikan daging atau bahagian korban kepada mereka adalah lambang ketidaktulusan

Friday, 3 October 2014

Harga minyak naik, harga kobis pasti naik juga. tak caya mari kita perati

Harga minyak RON95 naik lagi berkuatkuasa 2/10/2014. kenaikan RM0.20. harga sebelum naik RM2.10. lepas naik jadi RM2.30/ liter

sakit hati tak?

gila kau tak sakit hati. lagi sakit hati bila ada menteri cakap kadar kenaikan tu SIKIT aje.

SIKIT???!!!

Sikit kateko???

yeah.. memang kenaikan tu sikit aje. tapi kesan kenaikan tu nanti amat amat besar!

ye, minyak baru sehari naik harga.

petang-petang balik kerja, aku akan singgah beli barang basah kat kedai dekat2 rumah (area Kinrara, Puchong)

harga kobis masih RM3.50/kg  ~ dulu masa harga minyak RM1.90/liter, harga kobis RM2.50/kg
udang biasa masih RM32/kg
sotong biasa RM20/kg
ayam RM7.30 ~ harga pasar tani Taman Bukit Kinrara baru je petang semalam (Khamis 2/10/2014)
bawang merah ros (ala yang kecik2 keler maroon tu) RM3.50/500g

itu beberapa harga yang aku ingat.

mari kita tengok seminggu dua lagi harga masih sama ke atau dah naik.

aku cukup yakin kenaikan harga akan berlaku. dan sangat menyeksakan.

alangkan harga udang sekarang RM32/kg pun aku kadang-kadang je beli sekarang sebab dah jatuh kategori mahal bagi aku, mau tak mahal. ambil 10ekor pun dah nam tujuh hengget.

memang aku stresssss sangat.
dah macam tak tau nak berjimat cemana lagi dah.

dan sekarang aku dah tak sabar2 nak tunggu pilihanraya.
tak sabar dah aku nak mengundi nih weiiiii....
aku berharap sangat nanti sesuatu perubahan bakal berlaku.
aku harap parti pakatan boleh menakhluki Putrajaya.
ye, Putrajaya!!
hanya dengan menakhlukinya saja la sekarang ni jalan yang ada.

bukan aku kata PR pasti boleh mentadbir dan boleh menghalang kenaikan minyak dan lain2 barang dengan jayanya. bukan itu maksud aku.

cumanya aku harap PR ada pendekatan yang lebih bagus menangani isu ni.

kita pon belom tau tahap pakarnya PR dalam isu menangani kenaikan harga minyak ni. untuk tahu, kita kena bagi peluang dorang pulak test power. kalau berjaya, akan lebih lama la PR menjadi pilihan rakyat. kalau sama je hasilnya, kita carik pulak alternatif lain. tu maksud aku.

sekian,

yang tidak setuju dengan kenaikan harga minyak, lalu naik minyak,

Cik Ila Kidal

Yg baik dari Allah,
Yg buruk dari Aku